Nasihat : Bertaubat jadikan jiwa tenang, bersih





RASULULLAH bersabda: "Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat." (Riwayat Tirmizi).
Oleh itu, bertaubat dan mohonlah keampunan kepada Allah di atas keterlanjuran yang dilakukan, menyesali dan berazam tidak melakukan kembali dosa.



Taubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Sesudah hati bersih, tentulah mendapat sinar keimanan dari Allah.

Dengan bertaubat, ia dapat membersihkan diri daripada melakukan perkaramungkar dan maksiat.

Ini menjadikan jiwa tenang, bersih dan tidak gusar mengenangkan kesalahan lalu.

Apabila bertaubat dengan sebenar-benarnya, Allah akan mengurniakan ketenangan yang abadi dan menjadikan kita benar-benar beriman dan berserah kepada-Nya.

Pembersihan jiwa daripada melakukan segala dosa dan maksiat atau kegiatan tidak berfaedah perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya mengikut masa kerana hidayah Allah itu tidak akan dinikmati jika seseorang itu tidak melakukan amalan secara berterusan.

Ini kerana jika taubat itu dilakukan selepas saja terasa diri bersalah dan kemudian mengulanginya, ia mendorong seseorang untuk mengulangi perbuatan maksiat dan kejahatan yang lain.

Selain itu, umat Islam digalakkan supaya lebih banyak beristighfar yang maksudnya memohon keampunan daripada-Nya.

Dengan beristighfar iaitu: ‘Astaghfirul-Lahal-Azim, allazi la ilaha illa Huwal Haiyul-Qaiyumu waatubu ilaih’ (Aku mohon keampunan kepada Allah Yang Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup lagi berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepada-Nya).

Sabda Rasulullah pula: "Sesiapa membanyakkan istighfar, nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang datangnya tanpa diduga." (Riwayat Ahmad).

Mengikut satu riwayat, Nabi beristighfar setiap hari tidak kurang daripada 70 kali.

Mengikut riwayat lain pula, 100 kali. Tujuan Baginda berbuat demikian, antaranya ialah agar dicontohi umatnya yang sentiasa terbabit dengan dosa.

Oleh itu, ucapkanlah istighfar sebanyak mungkin atau sekurang-kurangnya 70 kali pagi dan 70 kali petang.

Sumber: Email ,Internet
 
Return to top of page SiteMap Follower TV Online Copyright © 2010 - 2016 | All Rights Reserved | SaHaBaT BUKIT BOTAK Edited by LAG